Monday, November 2, 2009

buffet dan à la carte

Setiap kali kita pergi ke hotel atau restoran, kita akan diberi dua pilihan untuk makan; buffet atau a la carte.

Tahukah anda perkataan 'buffet' dan 'a la carte' berasal dari bahasa Perancis, buffet dan à la carte?

Dalam bahasa Perancis, maksud asal buffet adalah bangku (atau bench) dan kini maksudnya sebagai 'sideboard', manakala perkataan à la carte pula bermaksud dalam kad (atau in the card). à bermaksud 'in', la bermaksud 'the', dan carte bermaksud 'card'. Perkataan card juga berasal dari Perancis.

suasana buffet dalam sebuah hotel

contoh a la carte dalam sebuah restoran

Nota: Perkataan Perancis ada dua jantina; jantan atau betina (dalam bahasa Melayu, perkataan jantina adalah gabungan dua perkataan, jantan + betina). Ianya dikenali sebagai masculine atau feminine. Disebabkan perkataan carte adalah feminine (kerana diakhiri dengan huruf e), maka kena guna 'la'. Kalau perkataan tu adalah masculine, kena guna 'le'.

Saturday, October 31, 2009

dollar

Ketika krisis kekurangan duit syiling di UK, matawang Joachimstaler digunakan secara meluas di sana. Kemudian, perkataan Joachimstaler dipendekkan menjadi taler, atau sesetengahnya memanggil thaler.

Perkataan 'tal' dari taler berasal dari perkataan German, 'dale', yang bermaksud "lembah" atau "valley". Bunyi 'tal' adalah seperti bunyi 'tol' dalam perkataan 'tolak'. Dan taler (atau thaler) bermaksud orang atau benda yang "berasal dari lembah".

Simbol dollar, $, berasal dari jata (atau coat of arms) Sepanyol. Ianya diukir pada duit syiling 'Real de a Ocho' atau bermaksud 'piece of eight'. Dua tiang yang berdiri di sebelah kiri dan kanan dalam duit syiling tersebut dikenali sebagai the Pillars of Hercules, dililit oleh gulungan skrol (scroll) pada tiang-tiang tersebut. Jika diteliti pada tiang sebelah kanan, gulungan skrol pada tiang tersebut membentuk simbol $.


Dalam bahasa Sepanyol, 'real' bermaksud 'royal' dalam bahasa Inggeris (atau diraja dalam bahasa Melayu). Lambang mahkota pada duit syiling tersebut merujuk kepada simbol diraja Sepanyol. Dan 'ocho' bermaksud 'eight' atau lapan.

*Nota: Jata Malaysia dikenali sebagai Jata Negara.

Friday, October 30, 2009

introduzione

Pengenalan.

Setiap perkataan daripada bahasa-bahasa yang wujud di muka bumi ini mempunyai sejarahnya sendiri. Bahasa adalah medium untuk berkomunikasi, dan proses komunikasi ini diterjemahkan oleh otak manusia untuk memahami sesuatu perbincangan. Apabila manusia faham terhadap sesuatu perkara yang dibincangkan, ini bermakna pihak pertama (yang membuka bicara) telah menyampaikan maklumat dengan berkesan tanpa gangguan-gangguan lain, dan si pihak kedua pula menterjemahkannya ke dalam bentuk pemahamannya sendiri.

Katakan jika seorang cikgu berkata, warna terung itu ungu, maka setiap kali anak muridnya ternampak terung, maka mereka akan fikir itu adalah warna ungu. Jarang sekali jika mereka mempersoalkan seperti, "kenapa terung itu mesti berwarna ungu dan bukan berwarna kuning?", adalah kerana proses penterjemahan data dalam otak faham bahawa 'setiap objek yang berbentuk terung itu mestilah berwarna ungu'. Ia adalah konsep pemahaman yang ditafsirkan sendiri.

Tujuan.

Blog Bahasa Merdeka ini diwujudkan untuk memberi pendedahan dalam perkataan-perkataan yang terdapat pada bahasa-bahasa dari segenap lapisan dunia.

Sebagai contoh, perkataan 'dollar' yang digunakan dalam sistem matawang US mempunyai sejarahnya sendiri seperti bagaimana istilah tersebut wujud. Dan contoh lain pula seperti bagaimana perkataan 'a la carte' wujud dalam bidang masakan atau kulinari (culinary).

Di samping itu juga, blog ini akan mengumpul loghat-loghat yang terdapat dalam Malaysia. Terdapat sesetengah perkataan yang terdapat dalam loghat-loghat ini digunakan secara meluas dalam bahasa kita, manakala sesetengahnya pula mempunyai maksud berlawanan dalam pemahaman kita dan pemahaman penutur asal loghat tersebut.

Penutup.

Semoga dengan blog ini kita dapat mengenal dengan lebih dekat pada perkataan, istilah, dan bahasa yang telah digunakan di muka bumi ini.

*Nota: introduzione adalah perkataan Itali yang bermaksud introduction, atau pengenalan. Bunyinya adalah seperti in-tro-dyu-zohn.